بسم الله الرحمان الرحيم
.. السلام عليكم ورحمة الله
Sekadar perkongsian Ilmiah berkenaan Ilmu Qawaid Feqhiyyah yang dipelajari pada sem lepas. Subjek yang amat menarik dan mudah difahami dan mudah memahamkan orang lain kerana ilmu ini bisa menyelesaikan sesuatu kekeliruan dalam ibadah.
~ Buat Casawiyat yang belajar dengan Pak Aiman, bolehlah sekali sekala merujuk notes di bawah, kerana beliau sering kali mengaitkan pelajarannya dengan Qawaid Feqhiyyah.
Kaedah Asas dan Pecahan dalam Kaedah Fiqh
Terdapat lima kaedah asas yang terdapat dalam penulisan-penulisan fuqaha’ silam. Daripada setiap lima kaedah asas ini dipecahkan menjadi kaedah kecil yang banyak. Disebabkan keterbatasan ruang perbahasan, penulisan ini hanya menyenaraikan lima kaedah asas dan beberapa kaedah pecahan sahaja. Lima kaedah asas itu ialah:
1. (الأمور بمقاصدها) yang bermaksud: segala urusan berdasarkan niat.
2. ( اليقين لا يزال بالشك) yang bermaksud: keyakinan tidak akan dihilangkan dengan keraguan.
3. ( المشقة تجلب التيسير) yang bermaksud: kesukaran memberi ruang kepada kemudahan.
4. ( الضرر يزال) yang bermaksud: kemudaratan mesti dihapuskan.
5. ( العادة محكمة) yang bermaksud: adat digunapakai dalam memutuskan hukum (dalam kes yang tiada hukum asal) (Muhammad al-Ruki 1998: hlm. 107).
Antara kaedah pecahan daripada kaedah asas yang pertama iaitu (الأمور بمقاصدها) ialah:
1. (عدم اشتراط النية في عبادة لا تكون عادة او لا تتلبس) iaitu tidak disyaratkan niat dalam mana-mana ibadah yang ia bukan jenis adat atau ia tidak akan ada kesamaran dengan yang lain.
2. (ما لا يشترط التعرض له جملة وتفصيلا اذا عينه وأخطأ لم يضر) iaitu sesuatu amalan yang tidak disyaratkan ta’arrud baginya sama ada secara ringkas mahupun terperinci, apabila dita’yinkan itu, maka ia tidak memudaratkan (tidak batal).
3. (الإشتغال بغير مقصود إعراض عن المقصود) iaitu melakukan apa yang tidak dimaksudkan bererti berpaling daripada yang dimaksudkan.
4. (النية في اليمين تخصص اللفظ العام ولا تعمم الخاص) iaitu niat berkaitan dengan sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum, namun tidak mengumumkan lafaz umum.
5. (مقاصد اللفظ علي نية اللافظ) iaitu sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang mengucapkannya (Ab. Latif Muda 2000: hlm. 37).
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( اليقين لا يزال بالشك) ialah:
1. (الأصل بقاء ما كان على ماكان ) iaitu asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya.
2. ( القديم يترك على قدمه) iaitu apa yang ada semenjak dulu dibiarkan atas kedahuluannya.
3. (الأصل براءة الذمة) iaitu asal seseorang adalah bebas daripada tanggungjawab.
4. (الأصل العدم) iaitu asal segala sesuatu ialah tiada.
5. (الأصل في الصفات أو الأمور العارضة العدم) iaitu asal pada sifat atau perkara baru mendatang ialah tiada.
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( المشقة تجلب التيسير) ialah:
1. (الأمر إذا ضاق إتسع) iaitu sesuatu perkara jika menjadi sempit (susah), hukumnya menjadi luas.
2. (الضرورات تبيح المحظورات) iaitu kemudaratan membolehkan tegahan.
3. (الضرورات تقدر بقدرها) iaitu perkara-perkara darurat ditentukan mengikut kadarnya.
4. (ما جاز لعذربطل بزواله) iaitu apa yang diharuskan kepada orang yang uzur terbatal dengan hilang keuzuran tersebut.
5. (الاضطرار لايبطل حق الغير) iaitu keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( الضرر يزال) ialah:
1. (الضرر لايزال بالضرر) iaitu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan.
2. (الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف) iaitu kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan.
3. (يختار أهون الشرين) iaitu dipilih yang paling ringan antara dua keburukan.
4. (درء المفاسد مقدم علي جلب المصالح) iaitu membendung kerosakan lebih utama daripada menarik kebaikan
5. (الضرر يدفع بقدر الامكان) iaitu kemudaratan dibendung semungkin yang dapat.
Kaedah pecahan bagi kaedah asas ( العادة محكمة) ialah:
1. (كل ما شهد به العاده قضى به) iaitu apa yang telah diktiraf adat (sebagai harus atau haram) dihukum dengannya.
2. (انما تعتبر العادة إذا إطردت او غلبت) iaitu sesungguhnya adat yang diterima pakai ialah apabila ia berlaku berterusan atau secara kebiasaan.
3. (العلم بالرضا ينفي الحرمة) iaitu Pengetahuan dengan keredaan menafikan pengharaman.
4. (الحقيقة تترك بدلالة العادة) iaitu hakikat ditinggalkan dengan adanya petunjuk adat.
5. (الممتنع عادة كالممتنع حقيقة) iaitu perkara yang dilarang adat hukumnya diterima pakai (Ab. Latif Muda 2000: hlm. 37-44).
Rujukan laman web : lebaiyusri.blogspot.com